Islam dalam Ilmu Silat
DEFINISI SILAT
Menurut Wan Ahmad Fauzi (2008:41), silat dikatakan berasal daripada perkataan arab. Jika dieja صلة ia bermaksud hubungan antara manusia. Sebaliknya, jika dieja dengan سلاح, ia bermakna senjata. Kedua-dua pengertian di atas boleh menggambarkan matlamat asas seni silat. Ringkasnya, seni silat boleh diguna sebagai senjata untuk membela diri atau alat untuk mengerakkan perpaduan dan silaturrahim antara umat manusia sama ada melalui disiplin atau semangat yang ditiupkan. Seni silat terhasil daripada ketajaman minda dan kepekaan bangsa Melayu terhadap alam sekeliling. Kelahirannya adalah atas kesedaran perlunya suatu teknik serta kemahiran untuk menjaga keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan agama.
Kesenian Islam terserlah dalam ilmu seni mempertahankan diri atau dikenali sebagai seni silat. Setiap bangsa mempunyai ilmu seni mempertahankan diri, iaitu kepada orang Melayu disebut silat, gayung, pencak atau kali. Lumrah kepada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu disebutnya silat atau gayung, namun perkataan silat adalah lebih masyhur digunakan yang menjadi pakaian pahlawan yang di dalamnya mengandungi rahsia ilmu seni perang Melayu tradisi di mana kaedah mengenai ilmu seni mempertahankan diri merupakan sebahagian daripadanya. Ini sebagai salah satu daripada seni silat Melayu tertua telah dibukti mampu menjadi wadah untuk mempertahankan akidah, maruah umat Islam dan bangsa Melayu.
ISLAM DAN SILAT
Setelah bertapaknya agama Islam di Kepulauan Melayu dalam abad ke-15, seni silat bukan sahaja mengutamakan pencapaian kesempurnaan jasmani malah kesempurnaan rohani. Bahkan kesempurnaan rohani itulah yang lebih mutlak dan hakiki dalam matlamat ilmu persilatan Melayu (Tuan Ismail 1991: 31). Ilmu kerohanian ialah ilmu mengenai roh atau hubungan manusia dengan alam ghaib mengikut kepercayaan. Kepelbagaian kepercayaan dan budaya yang diterima telah mewarnai budaya Melayu. Iaitu selagi budaya atau amalan tersebut tidak bercanggah dengan akidah Islam, ia masih diamalkan. Oleh itu, Islam telah menyumbang amalan kerohanian Islam ke dalam dunia ilmu persilatan Melayu bagi menggantikan amalan-amalan kerohanian yang dikosongkan oleh kepercayaan-kepercayaan sebelumnya.
Seni silat adalah sejenis ilmu membela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan Melayu. Seni silat ini bukan sahaja mengutamakan unsur persilatan malah mementingkan unsur kesenian dan peradaban Melayu sebagai pelengkap yang tidak dapat dipisahkan (Tuan Ismail 1991: 1). Menurut Abdullah Yusof (2011:63) Orang Melayu sebelum Islam, berdasarkan tinggalan budaya benda dan warisan yang lain, memang mempunyai seni teater dan seni mempertahankan diri bagi tujuan mengisi masa lapang sebagai hiburan untuk anggota masyarakat pada masa tertentu. Antara seni teater ialah wayang kulit dan seni silat. Seni ini di teruskan oleh orang Melayu apabila mereka menganut agama Islam. Penerimaan itu dibuat setelah seni itu “diIslamkan” tanpa mengubah cara dan corak persembahan serta aspek ritual dalam kesenian itu. Antara perubahan ialah penggunaan ritual permulaan berbentuk Islam.
Di dalam seni silat ini terdapat pelbagai pergerakan yang amat menarik malah mempunyai pelbagai senjata yang mampu dipelajari oleh semua orang. Pergerakan yang dipelajari ini mampu dikuasai bagi mempertahankan diri serta melakukan persembahan di khalayak orang ramai. Tamabahan pula, senjata ini mamu dipelajari bagi mempertahankan diri tanpa senjata api, kerana dalam mempelajari senjata juga merupakan suatu perkara yang perlu ada supaya keselamatan diri, keluarga serta masyarakat dapat dilindungi jika terdapat perkara buruk yang berlaku.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ (4:71)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا خُذُوا حِذْرَكُمْ فَانْفِرُوا ثُبَاتٍ أَوِ انْفِرُوا جَمِيعًا
Maksud:
Wahai orang beriman, bersiap sedialah kamu dan majulah ke medan pertempuran secara berkelompok-kelompok atau dalam satu barisan.

Sebelum sesuatu pertunjukan dimulakan, nama Allah, nabi dan rasul diseru. Islam tidak menolak terus unsur bukan Islam dalam kesenian tersebut dengan mengekalkan beberapa ciri yang menggambarkan berlakunya tolak ansur dalam hidup berbudaya. Masyarakat Melayu Islam selepas kedatangan Islam terus melahirkan pelbagai jenis seni. Tetapi hasil seni Islam menyaksikan kefahaman yang tinggi di kalangan pencipta seni Islam tentang had dan tanggungjawab mereka dalam penciptaaan (Abdullah Yusof 2011:63).
Silat ialah seni mempertahankan diri orang Melayu yang tidak asing lagi yang mengandungi tiga unsur iaitu silat, silap dan silau. Silat ialah gerak atau pergerakan anggota dalam mempertahankan diri daripada serangan lawan. Silap merupakan langkah-langkah yang digunakan dalam silat, sementara silau pula bererti buah pukulan yang digunakan dalam mempertahankan diri daripada serangan. Lantaran itu Seni Silat boleh ditakrifkan sebagai gerak, langkah dan pukulan yang dicipta oleh manusia secara sistematik, teratur dan halus dalam mempertahankan diri daripada serangan. Seni silat Melayu pula membawa makna gerak, langkah teratur, halus dan pukulan ciptaan bangsa Melayu dalam menghadapi lawan atau mempertahankan diri daripada serangan (Abdullah Yusof 2011:63-64).

Baju dan seluar Melayu (silat) juga mempunyai beberapa fesyen yang dikenali dengan pelbagai panggilan seperti baju cekak musang, teluk belanga, bujur sirih, seluar jerut dan seluar tongkah. Walaubagaimanapun fesyennya, terdapat dua ciri utama yang perlu ada pada baju dan seluar Melayu (silat). Ciri pertama ialah saiznya yang sangat longgar (tidak sepadan dengan pemakainya). Ciri kedua ialah terdapatnya pesak. Pada baju, pesak itu terdapat di bahagian bawah ketiak dan dikenali sebagai kikik manakala pada seluar pula pesak terdapat di bahagian bawah cawat dan dikenali sebagai tongkah. Oleh kerana ada pesak itulah, maka baju dan seluar Melayu menjadi longgar apabila dipakai (Tuan Ismail 1991: 9).
Justeru, orang Melayu telah mencipta dan mengamalkan silat sebelum kehadiran pengaruh luar di alam Melayu. Mereka berupaya membentuk tamadun dan mewujudkan hierarki dalam sosio budayanya iaitu golongan pahlawan berada di bawah golongan bangsawan. Golongan pahlawan adalah bersifat terbuka kerana sesiapa sahaja memiliki kemahiran silat atau ilmu seni perang boleh menyertai angkatan perang raja. Dari kedudukan tersebut mereka berpeluang mengubah taraf hidup dengan berkhidmat dan dikurniakan gelaran serta kuasa oleh raja.
KESIMPULAN
Setiap perkara tersebut lebih mengutamakan agama Islam serta adat-adat yang dibenarkan oleh syarak mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pemerintah mahupun pihak yang berkuasa seperti Jakim. Di samping mengenali asal-usul silat, mereka juga diajar mengenai sejarah dan mengingati semula para pejuang Melayu yang telah mempertahankan tanah air dari terus dijajah. Para pejuang walaupun hanya berkisahkan mengenai sifat kepahlawanan, tetapi mereka juga sangat terkenal dengan sifat kewarakan mereka yang kuat dalam pegangan agama Islam.
Akhir sekali, pesilat sentiasa dididik mengenai kerohanian dan fizikal bagi menjadi orang berguna suatu hari nanti. Hal ini mampu memberikan immpak yang positif terutama anak-anak muda yang merupakan bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti. Sifat semulajadi persilatan ini telah melatih semua ahlinya untuk bersifat mulia, murni boleh menyelamatkan diri, kumpulan bangsa, agama dan negara serta bercita-cita tinggi untuk mempelajari hak Melayu kita.
RUJUKAN
Abdullah Yusof. Islamic Art, World Congress For Islamic History And Civilization. 10-11 October 2011 (Monday & Tuesday) Organizer Department Of Islamic History And Civilization. Academy Of Islamic Studies Universiy Of Malaya.
Tuan Ismail Tuan Soh.1991. Seni Silat Melayu dengan tumpuan kepada Seni Silat Sekebun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991:32.
Wan Ahmad Fauzi Haji Wan Husain. 2008. Selayang Pandang Silat Seni Gayong Malaysia.

Comments
Post a Comment